Monday, December 28, 2009

Warisan Klasik - Ep 2 - Cincin Belah Rotan

Ilham mengambil masa selama seminggu untuk membersihkan Warisan Klasik. Dia teruja dan tidak sabar untuk membuka kembali kedai antik milik arwah mak ciknya. Tiba masanya dia membuka kedai.

9 pagi : Ilham membuka kedainya. Dia berharap sekurang-kurangnya ada satu pelanggan yang akan membeli barangan antik. Mungkin masa tengahari.

10 pagi : Masih tiada pelanggan. Ilham sabar menunggu.

11 pagi : Ilham berasa mengantuk. Masih tiada pelanggan.

12 tengahari : “Sabar, sabar. Nanti ada orang akan datang,” Ilham berkata dengan tenang.

1 tengahari : Ilham memesan makanan. Dia mula bosan.

2 petang : Muncul posmen membawa sebuah bungkusan kecil. Ilham membuka bungkusan itu. Terdapat sekeping kad dan satu lagi kotak kecil baldu, berwarna kuning keemasan. Ilham melihat kad yang kelihatan lama. Mungkin berusia lebih sepuluh tahun. Ilham membaca tulisan kad itu yang ditulis dalam bahasa jawi. Nasib baiklah dia masih mengingati bahasa jawi.

“Buat puteriku”

Ilham membuka kotak baldu itu. Terdapat sebentuk cincin sebesar jari manis seorang perempuan. Cincin belah rotan gangsa.

3 petang : Masih tiada pelanggan. Ilham membuka kembali kotak baldu dan mengambil cincin. Dia hairan meihat cincin itu sedikit besar dari saiz ketika kali pertama dia melihatnya. Dia cuba memakai cincin tersebut. Cincin itu muat di jari manisnya. Tidak lama kemudian, muncul seorang pelanggan. Seorang lelaki 30-an memberitahu bahawa dia mencari hadiah ulang tahun perkahwin. Ilham Dia melihat disekeliling dan tidak nampak berminat. Dia melangkah mahu keluar dari kedai.

“Tunggu encik. Jangan pergi dulu,” Ilham berkata.

Lelaki itu berhenti.

“Encik tak nak beli apa-apa di sini? Belilah sesuatu.”

Lelaki itu mengambil pasu bunga terdekat dengannya dan menyerahkan kepada Ilham.

“Saya beli ni.”

Ilham membungkus pasu itu dalam sebuah beg kertas dan memberikan kepada lelaki itu. Lelaki itu membayarkan sejumlah wang dan berlalu pergi.

4 petang : Muncul seorang lagi pelanggan. Seorang perempuan berusia pertengahan 20-an. Dengan mudah Ilham dapat memujuknya membeli sebuah gelang klasik berusia 50 tahun.

5 petang : Ilham meletakkan cincin itu kembali dalam kotak baldunya dan menyimpan dalam meja laci. Sepuluh minit muncul seorang lagi pelanggan. Seorang perempuan berusia 60-an. Kali lagi Ilham langsung tidak berjaya memujuknya membeli.

6 petang : Pelanggan datang dan pergi.

7 malam : Tiada pelanggan.

8 malam : Pelanggan datang, lihat, marah dan pergi.

9 malam : Tiada pelanggan.

“Kenapa tadi aku boleh jual, tapi….” Ilham teringatkan sesuatu. Dia membuka lacinya dan mengambil kotak baldu. Dia memakai cincin belah rotan.

“Mungkin ke?”

Muncul tiga orang lelaki berbadan besar dan bermuka samseng. Mereka membawa parang. Ilham takut.

“Mati!”

Hanya itu sahaja yang keluar dari mulut salah seorang lelaki itu. Mereka menyerang Ilham dengan parang. Mahu menetaknya.

“Jangan tetak aku!” Ilham menjerit.

Mereka berhenti. Diam seperti zombi. Ilham hairan. Dia melihat cincin di jarinya.

“Menari ballet.”

Mereka menari ballet.

“Nyanyi lagu Siti Nurhaliza.”

Hanya seorang sahaja yang menyanyi. Mungkin dia seorang yang meminati Siti Nurhaliza.

“Tolong aku kemas kedai.”

Mereka semua menolong Ilham mengemaskan kedainya. Ilham menyuruh mereka pulang dan jangan datang ke kedainya lagi.

10 malam : Di rumah Suraya. Suraya menjerit geram. Rancangannya gagal lagi.

10 malam : Di rumah Ilham. Ilham membaca tulisan jawi di kad dan bertanya kepada dirinya, "Siapakah puteri?"

12 tengah malam : Di Warisan Klasik. Di bawah kedai, muncul sebuah pintu bercorak klasik di dinding.

BERSAMBUNG....

No comments:

Post a Comment