Tuesday, December 22, 2009

DeLima - Episod 1 - Bermulanya di Sini


Mana  hilangnya beg ini?
Bahagian 1


Bunyi loceng kedengaran lagi selepas dua puluh minit, menandakan yang waktu rehat pelajar sesi petang sudahpun tamat. Berduyun-duyunlah pelajar tingkatan satu dan dua mendaki anak tangga masuk ke kelas masing-masing. Cantik susunannya, bagai semut diatur mencari makanan. Dan sudah tentulah, masih riuh dan becok lagi mulut mereka bercerita. Bising dan bingit satu sekolah.

“Inilah masa favourite aku, waktu habis rehat, semua student masuk kelas,” Mohzi bercakap sendiri sambil matanya dilemparkan ke arah bangunan di sebelah.

“Apa yang kau nampak dari situ? Jauh,” Yazid bertanya dengan tidak mengalihkan perhatiannya dari telefon bimbitnya.

“Inilah mata jejaka idaman Malaya, walaupun jauh, tetap dapat menilai mana cantik mana buruk,”

“Sebab tulah mata kau tu rabun, selalu sangat tengok benda yang jauh dengan niat yang tak baik,” Yazid mengusik selamba.

“Tengok tu, budak pengawas percubaan tu, comel. Aku dah perasan dia sejak dia masuk hari tu,” Mohzi menuding jari telunjuknya keluar tanpa mempedulikan kata-kata Yazid.

“Kau ni tak padan gatallah, budak form one pun kau nak usik,”

“Eh, budak form onelah bagus, dia orang masih mentah lagi, tak pandai nak melawan,”

“Yalah, sebab kau ni asyik kalah bergaduh dengan perempuan,” Joanne, pelajar perempuan yang dari tadinya mendiamkan diri bersuara apabila tidak dapat menumpukan perhatian ke atas pembacaannya sebaik mendengar perbualan dua pelajar lelaki itu.

“Mana ada...” Mohzi cepat betah sambil berpaling menghadap kedua-dua pelajar itu. “Aku ni...”

“Joanne...!” Sufina memanggil sambil meluru masuk ke dalam bilik itu, sekaligus memotong ucapan membela diri Mohzi.

Serentak Joanne dan Yazid menutup kedua-dua belah telinga mereka dengan tapak tangan. Suara nyaring Sufina boleh memecahkan gegendang telinga jika pendengarnya tidak pantas menghalang serangan jeritannya. Max masuk ke bilik itu kemudiannya dan menepuk bahu Mohzi yang terpaku seketika. Mohzi tersentak, memandang Max yang tersengih kecil.

“Kau ni kenapa?” Mohzi bertanya, masih di dalam mood terkejut.

“Joanne...!” Sufina merintih lagi, tidak mempedulikan Mohzi.

“Kenapa ni? Duduk, duduk,” Joanne menarik kerusi di sebelahnya.

Sufina melabuhkan punggung di kerusi kayu itu. “Joanne...”

“Joanne, Joanne. Cakaplah,” bentak Yazid sebaik sahaja dia membuka kembali cuping telinganya.

“Joanne, kau kena tolong aku. Kau mesti tolong aku,”

“Kenapa dengan kau ni? Cakaplah.”

Yazid, Mohzi dan Max berpandangan. Susah nak faham orang perempuan. Sudahlah dia menyerbu masuk terjerit-jerit, memanggil nama Joanne tidak henti-henti, kemudian tidak bercakap pula.

“Macam mana kau boleh datang sekali dengan dia?” Mohzi bertanya.

“Dia lari kat luar library masa aku tengah pakai kasut tadi. Aku kejar dan ikutlah.”

Yazid mengangguk, mengalihkan pandangan ke arah Sufina yang masih mencari nafas, kemudian memandang Joanne yang sabar menunggu.

“Joanne, kau kena tolong aku. Kau mesti tolong aku,” ulang Sufina.

“Tolong apa?”

Yazid kadang-kala mengagumi ketabahan dan kesabaran Joanne dalam berdepan dengan situasi sebegini. Sufina selalunya buat mereka berang dan tak sabar kerana bercakap tidak terus ke point penting.

“Duit...duit team aku hilang. Duit team aku hilang.”

Bulat mata keempat-empat pelajar itu mendengar punca jeritan Sufina. Duit hilang? Duit pasukan futsal sekolah hilang?

“Macam mana boleh hilang?” Yazid bertanya.

“Bila dan kat mana hilang?” Mohzi menyoal.

“Banyak ke yang hilang?” Max ingin tahu.

Sufina menggeleng. “Fiza kata dia simpan duit dalam beg, dalam seratus tiga puluh sebab kita orang nak bayar duit pertandingan. Dia letak beg kat kerusi, dengan beg-beg kita orang yang lain. Bila Cikgu Zul minta duit, Fiza tengok duit tu dah hilang,”

“Seratus tiga puluh? Kenapa bawa duit banyak sangat?” Mohzi bertanya smbil menolah cermin matanya ke atas.

“Kan dia kata nak bayar duit pertandingan, kau ni tak dengar ke?” Max mengusik.

“Dia cuma dengar seratus tiga puluh tu je, yang lain dia dah tak dengar,” sambut Yazid.

Mohzi menjuihkan bibir apabila diejek.

“Joanne, kau kena tolong aku.” Sufina berpaling memandang pelajar lelaki. “Kau orang pun sama, kena tolong aku,”

“Nak mencari orang ni...” Mohzi mengeluh.

“Nak main permainan menyiasat ni bukan senang,” Max merungut.

“Joanne!” Sufina memandang Joanne dan mengadu.

“Kau orang ni, janganlah fikir yang bukan-bukan. Kan Sufi tengah susah sekarang ni, kita kenalah tolong,” kata Joanne.

Mohzi menggaru kepala yang tidak gatal, Max kerut kening dan berfikir.

“Bagus juga, kita boleh main Detektif Conan. Baik, kes pertama kita, adalah mencari duit pasukan futsal perempuan sekolah,” Yazid mengumumkan tiba-tiba.

------------------------------------bersambung

3 comments:

  1. cute seperti tuannya juga...
    ada harapan jadi novel panjang nanti?

    ;-)P

    ReplyDelete
  2. hahahaha, siap kumen agi tuh...
    jum kita sebarkan blog ini

    BERUSAHALAH!!!

    ReplyDelete