Monday, December 28, 2009

Warisan Klasik - Ep 2 - Cincin Belah Rotan

Ilham mengambil masa selama seminggu untuk membersihkan Warisan Klasik. Dia teruja dan tidak sabar untuk membuka kembali kedai antik milik arwah mak ciknya. Tiba masanya dia membuka kedai.

9 pagi : Ilham membuka kedainya. Dia berharap sekurang-kurangnya ada satu pelanggan yang akan membeli barangan antik. Mungkin masa tengahari.

10 pagi : Masih tiada pelanggan. Ilham sabar menunggu.

11 pagi : Ilham berasa mengantuk. Masih tiada pelanggan.

12 tengahari : “Sabar, sabar. Nanti ada orang akan datang,” Ilham berkata dengan tenang.

1 tengahari : Ilham memesan makanan. Dia mula bosan.

2 petang : Muncul posmen membawa sebuah bungkusan kecil. Ilham membuka bungkusan itu. Terdapat sekeping kad dan satu lagi kotak kecil baldu, berwarna kuning keemasan. Ilham melihat kad yang kelihatan lama. Mungkin berusia lebih sepuluh tahun. Ilham membaca tulisan kad itu yang ditulis dalam bahasa jawi. Nasib baiklah dia masih mengingati bahasa jawi.

“Buat puteriku”

Ilham membuka kotak baldu itu. Terdapat sebentuk cincin sebesar jari manis seorang perempuan. Cincin belah rotan gangsa.

3 petang : Masih tiada pelanggan. Ilham membuka kembali kotak baldu dan mengambil cincin. Dia hairan meihat cincin itu sedikit besar dari saiz ketika kali pertama dia melihatnya. Dia cuba memakai cincin tersebut. Cincin itu muat di jari manisnya. Tidak lama kemudian, muncul seorang pelanggan. Seorang lelaki 30-an memberitahu bahawa dia mencari hadiah ulang tahun perkahwin. Ilham Dia melihat disekeliling dan tidak nampak berminat. Dia melangkah mahu keluar dari kedai.

“Tunggu encik. Jangan pergi dulu,” Ilham berkata.

Lelaki itu berhenti.

“Encik tak nak beli apa-apa di sini? Belilah sesuatu.”

Lelaki itu mengambil pasu bunga terdekat dengannya dan menyerahkan kepada Ilham.

“Saya beli ni.”

Ilham membungkus pasu itu dalam sebuah beg kertas dan memberikan kepada lelaki itu. Lelaki itu membayarkan sejumlah wang dan berlalu pergi.

4 petang : Muncul seorang lagi pelanggan. Seorang perempuan berusia pertengahan 20-an. Dengan mudah Ilham dapat memujuknya membeli sebuah gelang klasik berusia 50 tahun.

5 petang : Ilham meletakkan cincin itu kembali dalam kotak baldunya dan menyimpan dalam meja laci. Sepuluh minit muncul seorang lagi pelanggan. Seorang perempuan berusia 60-an. Kali lagi Ilham langsung tidak berjaya memujuknya membeli.

6 petang : Pelanggan datang dan pergi.

7 malam : Tiada pelanggan.

8 malam : Pelanggan datang, lihat, marah dan pergi.

9 malam : Tiada pelanggan.

“Kenapa tadi aku boleh jual, tapi….” Ilham teringatkan sesuatu. Dia membuka lacinya dan mengambil kotak baldu. Dia memakai cincin belah rotan.

“Mungkin ke?”

Muncul tiga orang lelaki berbadan besar dan bermuka samseng. Mereka membawa parang. Ilham takut.

“Mati!”

Hanya itu sahaja yang keluar dari mulut salah seorang lelaki itu. Mereka menyerang Ilham dengan parang. Mahu menetaknya.

“Jangan tetak aku!” Ilham menjerit.

Mereka berhenti. Diam seperti zombi. Ilham hairan. Dia melihat cincin di jarinya.

“Menari ballet.”

Mereka menari ballet.

“Nyanyi lagu Siti Nurhaliza.”

Hanya seorang sahaja yang menyanyi. Mungkin dia seorang yang meminati Siti Nurhaliza.

“Tolong aku kemas kedai.”

Mereka semua menolong Ilham mengemaskan kedainya. Ilham menyuruh mereka pulang dan jangan datang ke kedainya lagi.

10 malam : Di rumah Suraya. Suraya menjerit geram. Rancangannya gagal lagi.

10 malam : Di rumah Ilham. Ilham membaca tulisan jawi di kad dan bertanya kepada dirinya, "Siapakah puteri?"

12 tengah malam : Di Warisan Klasik. Di bawah kedai, muncul sebuah pintu bercorak klasik di dinding.

BERSAMBUNG....

Sunday, December 27, 2009

Resepi : Botok-Botok

Ikan kembong sebelum jadi botok-botok. Gambar botok-botok takde sebab photographer mogok.

BOTOK-BOTOK

Sejenis makanan masyarakat Jawa. Makanan ini diperbuat daripada ikan bercampur rempah dan pelbagai jenis herba yang dikukus dalam daun pisang. Makanan ini sesuai dimakan dengan hidangan nasi putih yang baru dimasak kerana aroma hidangan ini penuh menyelerakan. Kalau tak percaya, cubalah. Boleh jimat sikit duit poket minggu ni. Jimat dan mudah.

Bahan-bahan:

Ikan Kembong (Dibuang tulang)
Rempah
Ketumbar
Cili kering
Kunyit
Jintan putih
Jintan manis
Lada putih
Serai
Lengkuas
Halia
Bawang merah
Bawang putih

Campurkan sedikit kelapa parut yang digoreng, santan, asam jawa, gula pasir dan belacan.

Herba
Daun kaduk
Daun kunyit
Cekur
Daun kesum
Selasih
Bebuas
Limau purut
Daun mengkudu
Daun ubi muda


Gaulkan semua bahan-bahan tadi. Kemudian bungkuskan ia dengan daun pisang. Kemudian kukus selama dua jam. Selain itu, botok-botok ini juga boleh direbus bersama santan tadi. Daun mengkudu dan pucuk ubi dijadikan alas rempah botok-botok.

Selamat mencuba...

Tuesday, December 22, 2009

DeLima - Episod 1 - Bermulanya di Sini


Mana  hilangnya beg ini?
Bahagian 1


Bunyi loceng kedengaran lagi selepas dua puluh minit, menandakan yang waktu rehat pelajar sesi petang sudahpun tamat. Berduyun-duyunlah pelajar tingkatan satu dan dua mendaki anak tangga masuk ke kelas masing-masing. Cantik susunannya, bagai semut diatur mencari makanan. Dan sudah tentulah, masih riuh dan becok lagi mulut mereka bercerita. Bising dan bingit satu sekolah.

“Inilah masa favourite aku, waktu habis rehat, semua student masuk kelas,” Mohzi bercakap sendiri sambil matanya dilemparkan ke arah bangunan di sebelah.

“Apa yang kau nampak dari situ? Jauh,” Yazid bertanya dengan tidak mengalihkan perhatiannya dari telefon bimbitnya.

“Inilah mata jejaka idaman Malaya, walaupun jauh, tetap dapat menilai mana cantik mana buruk,”

“Sebab tulah mata kau tu rabun, selalu sangat tengok benda yang jauh dengan niat yang tak baik,” Yazid mengusik selamba.

“Tengok tu, budak pengawas percubaan tu, comel. Aku dah perasan dia sejak dia masuk hari tu,” Mohzi menuding jari telunjuknya keluar tanpa mempedulikan kata-kata Yazid.

“Kau ni tak padan gatallah, budak form one pun kau nak usik,”

“Eh, budak form onelah bagus, dia orang masih mentah lagi, tak pandai nak melawan,”

“Yalah, sebab kau ni asyik kalah bergaduh dengan perempuan,” Joanne, pelajar perempuan yang dari tadinya mendiamkan diri bersuara apabila tidak dapat menumpukan perhatian ke atas pembacaannya sebaik mendengar perbualan dua pelajar lelaki itu.

“Mana ada...” Mohzi cepat betah sambil berpaling menghadap kedua-dua pelajar itu. “Aku ni...”

“Joanne...!” Sufina memanggil sambil meluru masuk ke dalam bilik itu, sekaligus memotong ucapan membela diri Mohzi.

Serentak Joanne dan Yazid menutup kedua-dua belah telinga mereka dengan tapak tangan. Suara nyaring Sufina boleh memecahkan gegendang telinga jika pendengarnya tidak pantas menghalang serangan jeritannya. Max masuk ke bilik itu kemudiannya dan menepuk bahu Mohzi yang terpaku seketika. Mohzi tersentak, memandang Max yang tersengih kecil.

“Kau ni kenapa?” Mohzi bertanya, masih di dalam mood terkejut.

“Joanne...!” Sufina merintih lagi, tidak mempedulikan Mohzi.

“Kenapa ni? Duduk, duduk,” Joanne menarik kerusi di sebelahnya.

Sufina melabuhkan punggung di kerusi kayu itu. “Joanne...”

“Joanne, Joanne. Cakaplah,” bentak Yazid sebaik sahaja dia membuka kembali cuping telinganya.

“Joanne, kau kena tolong aku. Kau mesti tolong aku,”

“Kenapa dengan kau ni? Cakaplah.”

Yazid, Mohzi dan Max berpandangan. Susah nak faham orang perempuan. Sudahlah dia menyerbu masuk terjerit-jerit, memanggil nama Joanne tidak henti-henti, kemudian tidak bercakap pula.

“Macam mana kau boleh datang sekali dengan dia?” Mohzi bertanya.

“Dia lari kat luar library masa aku tengah pakai kasut tadi. Aku kejar dan ikutlah.”

Yazid mengangguk, mengalihkan pandangan ke arah Sufina yang masih mencari nafas, kemudian memandang Joanne yang sabar menunggu.

“Joanne, kau kena tolong aku. Kau mesti tolong aku,” ulang Sufina.

“Tolong apa?”

Yazid kadang-kala mengagumi ketabahan dan kesabaran Joanne dalam berdepan dengan situasi sebegini. Sufina selalunya buat mereka berang dan tak sabar kerana bercakap tidak terus ke point penting.

“Duit...duit team aku hilang. Duit team aku hilang.”

Bulat mata keempat-empat pelajar itu mendengar punca jeritan Sufina. Duit hilang? Duit pasukan futsal sekolah hilang?

“Macam mana boleh hilang?” Yazid bertanya.

“Bila dan kat mana hilang?” Mohzi menyoal.

“Banyak ke yang hilang?” Max ingin tahu.

Sufina menggeleng. “Fiza kata dia simpan duit dalam beg, dalam seratus tiga puluh sebab kita orang nak bayar duit pertandingan. Dia letak beg kat kerusi, dengan beg-beg kita orang yang lain. Bila Cikgu Zul minta duit, Fiza tengok duit tu dah hilang,”

“Seratus tiga puluh? Kenapa bawa duit banyak sangat?” Mohzi bertanya smbil menolah cermin matanya ke atas.

“Kan dia kata nak bayar duit pertandingan, kau ni tak dengar ke?” Max mengusik.

“Dia cuma dengar seratus tiga puluh tu je, yang lain dia dah tak dengar,” sambut Yazid.

Mohzi menjuihkan bibir apabila diejek.

“Joanne, kau kena tolong aku.” Sufina berpaling memandang pelajar lelaki. “Kau orang pun sama, kena tolong aku,”

“Nak mencari orang ni...” Mohzi mengeluh.

“Nak main permainan menyiasat ni bukan senang,” Max merungut.

“Joanne!” Sufina memandang Joanne dan mengadu.

“Kau orang ni, janganlah fikir yang bukan-bukan. Kan Sufi tengah susah sekarang ni, kita kenalah tolong,” kata Joanne.

Mohzi menggaru kepala yang tidak gatal, Max kerut kening dan berfikir.

“Bagus juga, kita boleh main Detektif Conan. Baik, kes pertama kita, adalah mencari duit pasukan futsal perempuan sekolah,” Yazid mengumumkan tiba-tiba.

------------------------------------bersambung

Monday, December 21, 2009

Warisan Klasik - Ep 1 - Kerongsang


Ilham membaca surat yang baru sahaja diterima daripada bosnya. Surat yang mengatakan bahawa perkhidmatannya sebagai pekerja bank tidak lagi diperlukan membuatkan dirinya terkesima untuk seketika. Dia merasakan dunia seakan berputar-putar. Dunia menjadi gelap. Masa depannya sudah tidak kelihatan. Dia menyumpah beberapa kali dalam dirinya. Dia masih tidak berani untuk bersuara lantang dihadapan bekas bosnya walaupun dia sudah dipecat. Dia menyalahkan bosnya dan ekonomi yang semakin melarat. Walau pada hakikatnya, dia memang patut dipecat. Sudah banyak kali dia diberikan peluang. Dia bukan sahaja seorang yang pemalas tapi juga selalu datang lewat, tidak membuat kerja, ponteng kerja dan beberapa perkara buruk yang lain. Pokoknya dia seorang yang pemalas.

Baru semalam dia menyambut harijadinya yang ke-26. Dia menghabiskan masanya dengan bersuka-ria dan datang ke pejabat lewat. Akibatnya, dia dibuang kerja. Bertambah parah apabila dia mendapati teman wanitanya, Serena curang dan memutuskan perhubungan mereka. Tepat pada pukul tiga petang, dia telah mengemaskan mejanya dan terus meninggalkan pejabat bank itu. Dia malu untuk mengucapkan selamat tinggal kerana sedar perbuatan bodohnya menyebabkan dia dihentikan kerja.

Dengan langkah malas, dia menuju pulang ke rumah. Setelah hampir sepuluh minit memandu kereta, akhirnya dia sampai di rumahnya iaitu sebuah flat penara di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.  Buat pertama kali, dia pulang dengan jalan yang tenang dan tidak sesak. Hanya hatinya yang sesak, memikirkan bagaimana dia mahu membayar hutang-hutangnya selepas ini? Mahu meminta kepada keluarganya, dia anak yatim-piatu. Dia melangkah masuk ke dalam lift dengan keluhan berat.

Sampai sahaja di pintu rumah, dia mendapati terdapat seorang lelaki berpakaian segak dan berusia dalam lingkungan 50an memperkenalkan dirinya.

"Nama saya Razak." Katanya sambil menghulurkan tangan tangan untuk bersalam dengan Ilham sementara tangan kirinya memegang sebuah beg.

Razak memperkenalkan dirinya sebagai peguam dan memberitahu Ilham mengenai wasiat yang diamanahkan olehnya dari arwah mak cik Ilham untuk disampaikan kepada Ilham.

"Arwah Puan Zaitun?" Ilham bertanya dalam dirinya. Dia hairan kerana sebelum ini dia tidak pernah mengetahui dia mempunyai seorang mak cik yang sudah arwah.

Encik Razak memberikan surat wasiat, sekeping geran, surat kedai dan kunci kedai kepada Ilham. Ilham telah diwasiatkan untuk menerima sebuah kedai antik.

Pada malamnya, Ilham tersenyum. Ini kerana dia mempunyai sebuah kedai antik yang bakal dijualnya. Hasil penjualan kedai itu akan digunakan untuk membayar kesemua hutangnya yang berjumlah rm100 ribu itu. Mengingatkan hutangnya membuatkan Ilham geram. Geram kerana menghabiskan duit semata-mata Serena. 

Keesokan harinya, Ilham melawat kedai antik yang bernama Warisan Klasik itu. Ilham batuk beberapa kali kerana terdapat banyak habuk dan sesawang labah-labah. 

"Kompom aku jual kedai buruk. Tapi siapa yang sanggup nak beli?" Ilham bercakap seorang diri.

"Saya sanggup beli." Tiba-tiba muncul seorang perempuan cantik memasuki kedainya.

Ilham terkejut apabila melihat Suraya berada di depanya. Suraya adalah seorang supermodel terkenal kerana kecantikan klasiknya dan ketinggiannya yang hampir sama dengan supermodel-supermodel antarabangsa. Ilham tidak mampu berkata-kata. Mulutnya seakan-akan terkunci dan terpukau dengan Suraya.

"Saya tawarkan dua juta untuk kedai ini. Setuju?" Suraya berkata dengan nada dan aksi menggoda.

Ilham hanya mengangguk.

"Lusa saya akan datang bersama peguam saya untuk tandatangan perjanjian." Suraya berkata.

Ilham masih mengangguk.

"Kita jumpa lagi." Suraya menamatkan perbualannya dengan mencium pipi Ilham. Suraya meninggalkan Ilham yang masih merasakan kesejukan dari ciuman Suraya.

Ilham masih dalam lamunannya sehingga dia terdengar suatu bunyi. Ilham mencari-cari bunyi itu dan akhirnya dia terdengar bunyi itu datang dari sebuah kotak kayu yang buruk, berada atas sebuah meja antik. Dia mengambil kotak kayu itu dan membukanya. Dia mendapati terdapat sebuah kerongsang berbentuk merak berada dalam kotak kayu itu. Dia menyentuh kerongsang itu dan muncul bayangan dalam mindanya.

Bayangan itu membawa dirinya ke sebuah rumah kampung yang agak lama tetapi masih mewah. Dia mengenali rumah ini, tetapi masih keliru. Kemudian dia melihat seorang lelaki sebaya dengannya sedang memegang sebuah kotak kayu dengan senyuman. Dia mengenali kotak kayu itu. Lelaki itu memakai baju Melayu dan bersongkok. Dia cuba mengingati siapakah lelaki itu tetapi dia keliru. Datang seorang perempuan berbaju kebaya mendekati lelaki itu dan memanggil lelaki itu dengan panggilan "kanda".

"Kanda" memberikan kotak kayu itu kepada "Dinda". "Dinda" membuka kotak kayu itu dan mendapati sebuah kerongsang merak. "Dinda"menerimanya dengan senyuman dan berterima kasih.

"Dinda akan hargai pemberian kanda, dan dinda akan perturunkan hadiah ini untuk anak cucu kita." Dinda berkata.

Bayangan kedua pula muncul. Kali ini Ilham berada pada zaman lingkungan 60an. Dia mengetahui zaman ini kerana muzik pop yeh yeh berkumandang. Dia melihat seorang perempuan memakai baju babydoll, kasut but, dan rambut tembikai. Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki berambut afro, berbaju bunga dan berseluar ketat membawa sebuah kotak kayu yang sama. Dia turut memberikan kotak itu kepada perempuan itu.

"I akan jaga kerongsang ini sampai bila-bila. Kalau I dah tak ada, I akan pastikan anak cucu kita dapat hadiah dari U ni." Perempuan itu berkata.

"Sebab I tahu U suka barang antik. Sebab itulah I hadiah kerongsang dari nenek moyang I untuk U. Tapi I ada hadiah yang lebih besar untuk u."

Perempuan itu terkejut. Teruja. Lelaki itu memimpin tangan perempuan itu sambil diiringi muzik agogo. Bayangan seterusnya membawa Ilham ke depan muka pintu kedai antik milik arwah mak ciknya. Dia melihat perempuan tadi begitu teruja apabila lelaki yang merupakan suaminya itu menghadiahkan sebuah kedai antik untuk dirinya. Ilham masuk ke dalam kedai itu bersama dengan mereka. 

"I hadiahkan kedai ini demi cinta kita, Zaitun." Lelaki itu berkata.

Ilham dapat mengetahui bahawa perempuan dan lelaki didepannya adalah arwah mak cik dan pak ciknya yang tidak pernah dia kenali. Ilham melihat betapa gembiranya arwah mak ciknya yang meletakkan kotak kayu dan kerongsang merak sebagai tanda pembukaan kedainya. Ilham terkejut apabila arwah mak ciknya berhadapan dengannya dan membisikkan sesuatu.

"Sayangku, ambillah kerongsang ini dan juallah. Mak Cik berikan kebenaran. Selesaikan hutang Ilham dan janganlah lepaskan kedai kami." Mak Cik Zaitun berbisik di telinga Ilham seperti mereka berada dalam zaman yang sama.

Bayangan itu tamat. Ilham kembali semula dizamannya. Ilham terus menutup kedai dan mengambil kerongsang tersebut. Dia pulang ke rumah dan mengambil gambar kerongsang. Dia memasukkan gambar tersebut ke dalam eBay untuk dilelong. Dia berharap kerongsang dia dapat sedikit duit dari hasil jualan tersebut. Namun pada waktu malam, Ilham langsung tidak dapat tidur. Dia rasa bersalah kerana meletakkan kerongsang keluarganya untuk dijual. Namun setelah beberapa jam berjaga, dia tertidur. 

Dalam mimpinya, arwah mak ciknya muncul.

"Mak Cik benarkan kerongsang itu dijual. Asalkan kedai Warisan Klasik masih dalam tangan Ilham." 

Ilham terjaga dan mendapati jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi. Dia terus membuka laptopnya dan laman sesawang eBay. Dia terkejut apabila mendapati ada orang yang sanggup membeli kerongsangnya dengan harga RM100 ribu ringgit! Dia melihat kerongsang tersebut beberapa kali dan sekali lagi muncul bayangan. Bayangan arwah pak cik dan mak ciknya tersenyum. Mereka bersama dengan arwah ibu dan ayahnya yang turut tersenyum.

Urusan jual beli kerongsang itu diselesaikan pada keesokan harinya. Ilham menggunakan duit yang diperolehinya dengan menyelesaikan masalah hutangnya. Dia datang ke kedai Warisan Klasik untuk kali kedua. Tidak lama kemudian, muncul Suraya dan peguamnya, Encik Malik. 

"Bersedia untuk lepaskan kedai ini?" Suraya bertanya dengan nada menggoda.

Ilham melihat sekeliling kedai tersebut. 

"Tidak." Ilham menjawab.

Muka Suraya merah padam. Tetapi dia cuba menahan.

"Saya naikkan harga tiga juta." Suraya berkata dengan lembut.

"Masih Tidak." Ilham tersenyum.

"Empat juta!?" Suraya naik bengang.

Ilham menggelengkan kepalanya.

Suraya memarahi Ilham kerana tidak menepati janji mereka. Sementara Encik Malik cuba memujuknya. 

"Aku akan pastikan kedai ini milik AKU!" Suraya berkata dengan tenungan mata membunuh. Ilham tersentak melihat pandangan tajamnya.

Suraya memandu kereta BMWnya dengan laju. Dia geram apabila rancangannya untuk memiliki kedai antik itu "gagal lagi".